CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Khamis, 12 Mac 2009

Sejarah dan Fadilat Ayat Qursi



Semasa penurunannya ia telah diiringi oleh beribu-ribu malaikat kerana kehebatan dan kemuliaannya. Syaitan dan iblis juga menjadi gempar kerana adanya satu perintang dalam perjuangan mereka. Rasullah s. a. w. dengan segera memerintahkan Zaid b Tsabit menulis serta menyebarkannya.

Sesiapa yang membaca ayat Kursi dengan khusyuk setiap kali selepas sembahyang fardhu, setiap pagi dan petang setiap kali keluar masuk rumah atau hendak musafir, InsyaAllah akan terpeliharalah dirinya dari godaan syaitan, kejahatan manusia, binatang buas yang akan memudaratkan dirinya bahkan keluarga, anak-anak, harta bendanya juga akan terpelihara dengan izin Allah s. w. t.

Mengikut keterangan dari kitab"Asraarul Mufidah" sesiapa mengamalkan membacanya setiap hari sebanyak 18 kali maka akan dibukakan dadanya dengan berbagai hikmah, dimurahkan rezekinya, dinaikkan darjatnya dan diberikannya pengaruh sehingga semua orang akan menghormatinya serta terpelihara ia dari segala bencana dengan izin Allah.

Syeikh Abu Abbas ada menerangkan, siapa yang membacanya sebanyak 50 kali lalu ditiupkannya pada air hujan kemudian diminumnya, insyaAllah, Allah akan mencerdaskan akal fikirannya serta memudahkannya menerima ilmu pengetahuan.

Untuk amalan kita semua..... Fadhilat Ayat Al-Kursi mengikut Hadis-Hadis Rasullullah s. a. w. bersabda bermaksud: "Sesiapa pulang ke rumahnya serta membaca ayat Kursi, Allah hilangkan segala kefakiran di depan matanya.

Sabda baginda lagi; "Umatku yang membaca ayat Kursi 12 kali pada pagi Jumaat, kemudian berwuduk dan sembahyang sunat dua rakaat, Allah memeliharanya daripada kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar." Orang yang selalu membaca ayat Kursi dicintai dan dipelihara Allah sebagaimana DIA memelihara Nabi Muhammad.

Mereka yang beramal dengan bacaan ayat Kursi akan mendapat pertolongan serta perlindungan Allah daripada gangguan serta hasutan syaitan. Pengamal ayat Kursi juga, dengan izin Allah, akan terhindar daripada pencerobohan pencuri. Ayat Kursi menjadi benteng yang kuat menyekat pencuri daripada memasuki rumah. Mengamalkan bacaan ayat Kursi juga akan memberikan keselamatan ketika dalam perjalanannya.

Ayat Kursi yang dibaca dengan penuh khusyuk, Insya-Allah, boleh menyebabkan syaitan dan jin terbakar. Jika anda berpindah ke rumah baru maka pada malam pertama anda menduduki rumah itu eloklah anda membaca ayat Kursi 100 kali, insya-Allah mudah-mudahan anda sekeluarga terhindar daripada gangguan lahir dan batin. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya,

Allah mewakilkan 2 orang Malaikat memeliharanya hingga subuh. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap sembahyang Fardhu, ia akan berada dalam lindungan Allah hingga sembahyang yang lain. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap sembahyang, tidak menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut, dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur, Allah memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya & ahli rumah2 di sekitarnya. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi diakhir tiap-tiap sembahyang Fardhu, Allah menganugerahkan dia hati-hati orang yang bersyukur perbuatan2 orang yang benar, pahala nabi2 juga Allah melimpahkan padanya rahmat.

Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya, mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir sembahyang Allah azza wajalla akan mengendalikan pengambilan rohnya dan ia adalah seperti orang yang berperang bersama nabi Allah sehingga mati syahid. Barang siapa yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya

semoga menjadi amalan hidup seharian

Insya Allah..

Selasa, 10 Mac 2009

Hati Lembut Bukan Bermakna Lemah


ADA orang berbangga dengan kedudukan dan pangkatnya. Ada juga yang sombong dengan kekayaan, rumah besar dan kereta mewah. Mereka seolah-olah lupa bersyukur bahawa semua harta dan pangkat diperoleh adalah atas kehendak Allah.

Sehubungan itu, Allah mengingatkan kita supaya sentiasa merendah diri dan tidak berlagak sombong seperti dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dan janganlah engkau berjalan di muka bumi dengan berlagak sombong, kerana engkau tidak mungkin dapat menebus bumi dan tidak mungkin menjangkau gunung dari segi ketinggian." - (Al-Isra' : 37).

Allah SWT berfirman lagi yang maksudnya: "Dan Allah SWT tidak suka orang yang sombong lagi membanggakan diri." - (Al-Hadid : 23).

Orang yang berbudi mulia dan tidak keras hati akan sentiasa memberi pertimbangan kepada keupayaan dan kebolehan orang lain dalam menjalankan kerja mereka. Ia banyak memberi maaf kepada kesalahan orang lain, tetapi sentiasa tegas dalam menjalankan kewajipan.

Hati yang lembut dan bertimbang rasa, tidak bermakna ia lemah dan lalai dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab, terutama tanggungjawabnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Tabiat yang dimilikinya itu sentiasa diletakkan pada tempatnya dan ketegasannya juga disampaikan dalam keadaan yang tenang dan beradab sehingga ia dihormati dan disegani.

Lantaran hatinya yang lembut dan bertimbang rasa, ia suka bermusyawarah dan meminta pandangan orang yang sesuai dalam membuat sesuatu keputusan atau bagi mengambil tindakan yang besar.

Allah SWT berfirman yang maksudnya: "Jika kamu bersikap kasar dan keras hati, nescaya mereka lari daripada kamu. Maka berilah kemaafan kepada mereka dan mohonlah kemaafan Allah untuk mereka dan bermusyawarah dengan mereka dalam urusan hidup mereka. Dan apabila ditentukan keazaman, maka berserahlah kepada Allah."- (Ali Imran: 159).

Orang yang berbudi mulia akan sentiasa bercakap perkara yang baik mengenai orang lain dan tidak mendedahkan keburukan mereka. Bagaimanapun, ia tidak lupa untuk memberi nasihat secara langsung kepada teman dan sahabatnya yang melakukan kesalahan dan kesilapan.

Kelakuan orang lain dijadikan cermin untuk menyuluh dirinya. Sahabatnya dijadikan ukuran untuk menilai kelebihan dan kekurangan yang ada pada dirinya. Jika ada kelebihan pada dirinya, ia akan bersyukur dan sebaliknya jika terdapat kekurangan, ia cuba memperbaiki kelemahannya itu.

Sebagai contoh, menceritakan keburukan orang lain (mengumpat) adalah budi pekerti yang jahat dan buruk yang boleh menyebabkan pergaduhan dan menghilangkan rasa hormat antara sesama masyarakat.

Apabila hilang rasa saling hormat menghormati maka mudahlah berlaku ketegangan dalam masyarakat sekalipun disebabkan oleh faktor yang remeh-temeh. Oleh sebab itulah Allah mengharamkan mengumpat. Allah SWT berfirman yang maksudnya: "Dan janganlah kamu mengumpat antara satu dengan yang lain. Adakah antara kamu ada yang suka memakan daging mayat saudaranya, lalu ia membencinya." – (Al-Hujurat: 12).

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Muslim, Allah menutup keaibannya pada hari kiamat." (Muttafaq `Alaih)