CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Selasa, 10 Mac 2009

Hati Lembut Bukan Bermakna Lemah


ADA orang berbangga dengan kedudukan dan pangkatnya. Ada juga yang sombong dengan kekayaan, rumah besar dan kereta mewah. Mereka seolah-olah lupa bersyukur bahawa semua harta dan pangkat diperoleh adalah atas kehendak Allah.

Sehubungan itu, Allah mengingatkan kita supaya sentiasa merendah diri dan tidak berlagak sombong seperti dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dan janganlah engkau berjalan di muka bumi dengan berlagak sombong, kerana engkau tidak mungkin dapat menebus bumi dan tidak mungkin menjangkau gunung dari segi ketinggian." - (Al-Isra' : 37).

Allah SWT berfirman lagi yang maksudnya: "Dan Allah SWT tidak suka orang yang sombong lagi membanggakan diri." - (Al-Hadid : 23).

Orang yang berbudi mulia dan tidak keras hati akan sentiasa memberi pertimbangan kepada keupayaan dan kebolehan orang lain dalam menjalankan kerja mereka. Ia banyak memberi maaf kepada kesalahan orang lain, tetapi sentiasa tegas dalam menjalankan kewajipan.

Hati yang lembut dan bertimbang rasa, tidak bermakna ia lemah dan lalai dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab, terutama tanggungjawabnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Tabiat yang dimilikinya itu sentiasa diletakkan pada tempatnya dan ketegasannya juga disampaikan dalam keadaan yang tenang dan beradab sehingga ia dihormati dan disegani.

Lantaran hatinya yang lembut dan bertimbang rasa, ia suka bermusyawarah dan meminta pandangan orang yang sesuai dalam membuat sesuatu keputusan atau bagi mengambil tindakan yang besar.

Allah SWT berfirman yang maksudnya: "Jika kamu bersikap kasar dan keras hati, nescaya mereka lari daripada kamu. Maka berilah kemaafan kepada mereka dan mohonlah kemaafan Allah untuk mereka dan bermusyawarah dengan mereka dalam urusan hidup mereka. Dan apabila ditentukan keazaman, maka berserahlah kepada Allah."- (Ali Imran: 159).

Orang yang berbudi mulia akan sentiasa bercakap perkara yang baik mengenai orang lain dan tidak mendedahkan keburukan mereka. Bagaimanapun, ia tidak lupa untuk memberi nasihat secara langsung kepada teman dan sahabatnya yang melakukan kesalahan dan kesilapan.

Kelakuan orang lain dijadikan cermin untuk menyuluh dirinya. Sahabatnya dijadikan ukuran untuk menilai kelebihan dan kekurangan yang ada pada dirinya. Jika ada kelebihan pada dirinya, ia akan bersyukur dan sebaliknya jika terdapat kekurangan, ia cuba memperbaiki kelemahannya itu.

Sebagai contoh, menceritakan keburukan orang lain (mengumpat) adalah budi pekerti yang jahat dan buruk yang boleh menyebabkan pergaduhan dan menghilangkan rasa hormat antara sesama masyarakat.

Apabila hilang rasa saling hormat menghormati maka mudahlah berlaku ketegangan dalam masyarakat sekalipun disebabkan oleh faktor yang remeh-temeh. Oleh sebab itulah Allah mengharamkan mengumpat. Allah SWT berfirman yang maksudnya: "Dan janganlah kamu mengumpat antara satu dengan yang lain. Adakah antara kamu ada yang suka memakan daging mayat saudaranya, lalu ia membencinya." – (Al-Hujurat: 12).

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Muslim, Allah menutup keaibannya pada hari kiamat." (Muttafaq `Alaih)

1 ulasan:

Samurouh Al-Fahri berkata...

assalamualaikum,
walaubagaimanapun ada dalil yang membenarkan mengumpat cthnya sipolan adalah pencuri dengan menghebahkan perlakuan sipolan maka masyarakat akan lebih berhati hati.tapi harus diingat dalam kes2 tertentu sahaja dan harus diingat dalam memilih 2 mudharat pilihlah yang paling kecil wallahualam.segala yang baik dtg dari Allah swt dan yang buruk dtg dari kelemahan diri sy sendiri.