1.0 Pengenalan
Bab 3 buku Islam dan Sejarah Kebudayaan Melayu karya Syed Muhammad Naquib Al-Attas memfokuskan perbahasan mengenai sejarah awal kedatangan Islam, penyebaran dan perkembangannya ke Asia Tenggara secara komprehensif bersama isu-isu yang saling berkaitan. Tujuan bab tersebut ditulis adalah untuk membentangkan teori kedatangan Islam ke Asia Tenggara terus dari Arab dengan mengambil kira bukti-bukti yang berkaitan sekali gus menjustifikasi teori tersebut sebagai paling relevan dan tepat. Syed Naquib mengemukakan analisis yang menitikberatkan kepada alasan-alasan berbentuk dalaman seperti bahasa, kesusasteraan dan falsafah (worldview) Islam itu sendiri, namun hakikatnya beliau tidaklah sama sekali menolak sebarang unsur atau bukti lain daripada sarjana lain selagi mana ada kesahihannya. Namun, isu yang menyebabkan beliau menolak hujah yang dikemukakan oleh J. Pijnappel, C. Snouck Hurgronje, R.A Kern, J.P. Moquette, Van Leur mahupun G.E. Marrisson ramai lagi adalah kerana kelemahan bukti yang tiada asas yang kukuh.
2.0 Kajian dan Perkembangan Kesusasteraan Melayu
Syed Naquib juga turut mengemukakan pandangannya tentang isu kajian dan perkembangan bahasa dan kesusasteraan Melayu hasil daripada penyebaran Islam di Asia Tenggara dari tanah Arab. Syed Naquib bersetuju bahawa penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam proses dakwah Islam serta bahasa sastera rasional dan intelektual.[1]Bahasa Melayu juga berperanan sebagai bahasa kesusasteraan falsafah memandangkan perbendaharaan kata dan istilah-istilahnya memberikan nilai dan makna rasional sekali gus dapat menandingi kedudukan bahasa Jawa sebagai bahasa sastera Melayu-Indonesia. Bahasa Melayu juga turut membawa gelombang perubahan pemikiran masyarakat Nusantara apabila membanjirnya istilah-istilah Islam dalam bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu. Syed Naquib juga mendakwa bahawa orang-orang Arab yang mula-mula datang Islam di Nusantara adalah sengaja memilih bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya.[2]Hal ini kerana, meskipun bahasa Jawa Kuno telah mencapai peringkat bahasa agama dan sastera, namun apabila dilihat dari sudut ilmu makna, bahasa Melayu dilihat lebih sesuai menerima pengaruh isi kandungan ajaran-ajaran Al-Quran kerana dikhuatiri bahawa akan berlaku kekeliruan dan kekaburan mengenai konsep-konsep Hindu-Buddha. Hal ini adalah kerana, bahasa Jawa Kuno terlebih dahulu menerima pengaruh konsep teologi Hindu-Buddha sebelum kedatangan Islam.
3.0 Perdagangan dan Perkahwinan
Syed Naquib turut tidak menafikan peranan yang dimainkan oleh pedagang Arab dalam menyebarkan Islam di Asia Tenggara. Hal ini kerana, kebanyakan pedagang Arab yang datang ke Asia Tenggara akan membawa bersama seorang atau dua orang pendakwah untuk menyebarkan Islam. Arnold juga menyatakan bahawa, para pedagang Arab menyebarkan Islam ketika mereka dominan dalam perdagangan Barat-Timur sejak abad-abad awal Hijrah atau abad ke-7 dan ke-8 Masihi.[3] Buktinya, menurut catatan Cina, menjelang akhir abad ke-7, seorang pedagang Arab menjadi pemimpin sebuah permukiman Arab Muslim di pesisir pantai Sumatera. Terdapat dalam kalangan orang-orang Arab tersebut yang berkahwin dengan wanita tempatan sehingga membentuk komuniti Muslim.[4]Walau bagaimanapun, Schrieke dalam Azyumardi Azra, menolak pandangan yang menyatakan perkahwinan antara para pedagang dengan keluarga bangsawan menghasilkan komuniti Islam yang besar.[5]Namun, beliau tidak pula menyatakan alasannya secara jelas melainkan hanya menegaskan bahawa ancaman dari agama Kristian lah yang mendorong masyarakat Nusantara memeluk agama Islam dalam jumlah yang besar. Namun, hujah tersebut juga tidak dapat diterima memandangkan beliau dilihat tidak saintifik kerana hanya mengambil fenomena konfrontasi antara Islam dan agama Kristian di Timur Tengah dan Semenanjung Iberia sebagai asas hujahnya.
4.0 Rasionalisme, Falsafah dan Intelektualisme
Syed Naquib juga turut menjelaskan dengan panjang lebar mengenai isu rasionalisme, falsafah dan intelektualisme yang berpengaruh ke atas masyarakat Nusantara selepas kedatangan Islam. Pada abad-abad ke-16 ke-17, penulisan sastera falsafah, metafizika dan teologi rasional telah berkembang di Asia Tenggara sejajar dengan usaha-usaha penterjemahan Al-Quran, karya falsafah, tasawuf dan ilmu kalam.[6] Zaman ini juga dianggap oleh Syed Naquib sebagai zaman kebangkitan rasionalisme dan intelektualisme Asia Tenggara. Berlaku perubahan dan revolusi yang mendasari pandangan hidup dan kebudayaan masyarakat Nusantara iaitu dari dasar yang mementingkan nilai estetika kepada dasar yang saintifik. Revolusi kebudayaan ini juga dilihat berpunca daripada penjelasan rasional mengenai konsep perihal wujud yang dihuraikan menerusi ajaran Islam.
Walau bagaimanapun, hal ini dilihat sangat bertentangan dengan pandangan yang dikemukakan oleh Kern dalam Farish A. Noor menyatakan bahawa kedatangan dan penyebaran Islam di Nusantara adalah hasil daripada peluasan kuasa Islam menerusi peperangan dan penjajahan.[7]Hal ini jelasnya tidak mempunyai bukti yang kukuh memandangkan kedatangan Islam ternyata menumpukan kepada aspek kerohanian yang langsung tidak bersifat kekerasan dan kezaliman. Hal ini seperti yang dikemukakan oleh Arnold bahawa Islam tidak datang ke Asia Tenggara sebagai penakluk seperti Sepanyol yang menggunakan pedang, tetapi Islam menyebarkan risalah rasionalisme dan kerohanian yang luhur dan bernilai intelektualisme.[8]Jilani juga turut mengukuhkan hujah Arnold apabila menyatakan bahawa masyarakat Nusantara memeluk Islam atas pilihan sendiri dan bukannya melalui sebarang pemaksaan.[9]
5.0 Kedudukan Agama Hindu-Buddha Dan Islam Dalam Masyarakat Nusantara
Syed Naquib turut membuat perbandingan antara kedudukan agama Hindu-Buddha dan Islam dalam masyarakat di Asia Tenggara. Agama Hindu hanyalah diamalkan oleh suatu lapisan tertentu sahaja dalam struktur masyarakat iaitu raja dan bangsawan lain, sedangkan rakyat jelata mengambil sikap tidak peduli terhadap ajaran-ajaran agama itu.[10]Hal ini bermakna, rakyat jelata hanya menjadi penganut yang memikul tanggungjawab ibadat serta mengamalkan ajaran-ajaran kepercayaannya dengan dipengaruhi oleh golongan bangsawan, raja dan pendeta. Jelasnya, penganut agama Hindu yang terdiri daripada rakyat biasa tersebut tidak memahami secara rasional tentang kandungan dan falsafah yang terkandung di dalam agama Hindu. Pendapat Naquib telah dilihat sejajar dengan pandangan Van Leur bahawa masyarakat Melayu-Indonesia itu bukanlah sebenarnya masyarakat Hindu, tetapi hakikatnya golongan bangsawan lah yang mengamalkan ajaran tersebut dengan bersungguh-sungguh.[11] Walau bagaimanapun, Somers menyimpulkan bahawa wujud persamaan pengaruh dan penyebaran antara agama Islam dan Hindu-Buddha ke atas masyarakat Nusantara menerusi kenyataannya:
“Like its predecessors religions, Islam assimilated many local influences as it spread”[12]
Walau bagaimanapun, kenyataan Somers tidak pula disusuli yang menyokong dakwaannya, namun beliau hanya membuat rumusan berdasarkan kepada generalisasi umum semata-mata. Andaian yang tidak kritis tersebut ternyata belum mampu menyangkal pengaruh Islam ke atas seluruh masyarakat Nusantara berbanding agama Hindu yang lebih diterima oleh masyarakat atasan.
6.0 Nilai Estetika Dan Saintifik
Selanjutnya, Syed Naquib turut menghuraikan tentang persoalan perbezaan estetika dan saintifik antara Hindu dan Islam. Menurut beliau, telah berlaku satu kesilapan dalam pemikiran sejarah apabila penyelidikan ilmiah Barat lebih cenderung kepada pentafsiran yang berdasarkan keagungan nilai kesenian dalam kehidupan insan seperti meletakkan keyakinan bahawa tamadun Jawa sebagai punca persejarahan Kepulauan Melayu-Indonesia.[13]Justeru, kesan Islam pada sejarah masyarakat di Nusantara bukanlah didapati menerusi ciri-ciri zahir, namun lebih kepada perkara yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar seperti pemikiran sesuatu bangsa yang terdapat di dalam bahasa yang mereka gunakan. Misalnya, Syed Naquib menjelaskan bahawa kedatangan dan penyebaran Islam di Asia Tenggara turut dipengaruhi oleh golongan sufi. Kedatangan ahli sufi[14] banyak mengubah pemikiran masyarakat Nusantara yang dahulunya dibelenggu dengan unsur-unsur mistik. Hal ini turut disokong oleh Somers apabila beliau menyatakan bahawa penyebaran Islam di Jawa telah menerima pengaruh besar dari Wali Songo.[15]Mahayudin Haji Yahaya turut memberi pandangan yang sama iaitu ahli tasawuf yang datang dari tanah Arab terkenal dengan sifat lemah lembut serta pandai berbudi bahasa. Hal ini dibuktikan lagi dengan Hikayat Raja-Raja Pasai dan Sejarah Melayu yang menggalurkan peristiwa kedatangan ahli sufi[16] ke Asia Tenggara untuk menyebarkan Islam.[17] A.H. John dalam Azyumardi Azra juga berpendapat ahli sufi berhasil mengislamkan sejumlah besar penduduk Nusantara sekitar abad ke-13.[18] Seterusnya, kedatangan sufi ke Asia Tenggara diteruskan oleh keturunan Syed ‘Alawiyyah yang berasal dari Hadramaut pada abad ke-16.[19]
7.0 Kesimpulan
Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa setiap kajian tentang sesuatu bangsa itu tidak boleh dipisahkan dengan persoalan bahasa, falsafah, intelektualisme, kebudayaan dan sosiobudaya masyarakat kerana semuanya adalah saling berkaitan antara satu sama lain. Hal ini adalah sebagaimana yang dilakukan oleh Syed Naquib Al-Attas apabila menjelaskan dengan terperinci setiap hujah dan bukti tanpa mengetepikan mana-mana satu daripada aspek tersebut. Justeru, melalui penulisan Syed Naquib, jelasnya kedatangan Islam ke Asia Tenggara dari Arab adalah lebih relevan dengan bersandarkan hujah-hujah dalaman dan luaran seperti yang telah dikemukakan di atas. Tambahan pula, hujah dan bukti Syed Naquib turut disokong dan dikembangkan oleh sarjana lain termasuklah orientalis Barat.
p/s : mohon diberi komen oleh sesiapa yang melihat kedhaifan pemahaman penulis supaya kembali kepada pemahaman yang benar terutamanya teguran daripada sifu "sis siti fauziana" :)
[1] Syed Muhammad Naquib Al-Attas. (1999). Islam dan Sejarah Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur : Angkatan Belia Islam Malaysia, hlm. 45.
[2] Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Islam dan Sejarah Kebudayaan Melayu, hlm. 36.
[3] T.W. Arnold. (2002). The Preaching of Islam : A History of The Propagation of The Muslim Faith. India : Adam Publishers and Distributors, hlm. 363-364.
[4]Azyumardi Azra. (2002). Jaringan Ulama Timur Tengah dan Kepulauan Nusantara Abad XVII dan XVIII. Indonesia : Prenada Media, hlm. 6.
[5]Azyumardi Azra. Jaringan Ulama Timur Tengah dan Kepulauan Nusantara Abad XVII dan XVIII, hlm. 13.
[6] Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Islam dan Sejarah Kebudayaan Melayu, hlm. 45.
[7] Farish A. Noor. (2002). Rethinking The Islamization Of The Malay World. Leiden : International Institute For Asian Studies (IIAS), hlm. 18. Schrieke dalam Azyumardi Azra juga turut membahaskan bahawa penyebaran Islam di Nusantara adalah disebabkan faktor pertarungan dengan agama Kristian demi untuk menyebarkan agama masing-masing. Lihat Azyumardi Azra. Jaringan Ulama Timur Tengah dan Kepulauan Nusantara Abad XVII dan XVIII, hlm. 13.
[8] T. W. Arnold. The Preaching Of Islam : A History Of The Propagation Of The Muslim Faith, hlm. 365-366.
[9] AFK Jilani. (2005). The Muslims of Southeast Asia. Bangladesh : The Taj Library, hlm. 1.
[10]Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Islam dan Sejarah Kebudayaan Melayu, hlm. 12.
[11] Buktinya, terjemahan-terjemahan kesusasteraan agama Hindu-India seperti Mahabrata, Bhagavad Gita yang menggambarkan kehidupan arjuna tidak menggambarkan falsafah luhur masing-masing apabila lebih menekankan kepada kesusasteraan epik, roman, mitos dan sastera keperwiraan. Ibid, hlm. 12-14.
[12] Heidhus, Mary Somers. (2000). Southeast Asia A Concise History. London : Thames and Hudson Ltd., hlm. 77.
[13] Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Islam dan Sejarah Kebudayaan Melayu, hlm. 22.
[14] Penyebaran agama Islam ke Nusantara turut didorong oleh peranan sufi juga diterima oleh Jilani. AFK Jilani. The Muslims of Southeast Asia, hlm. 1.
[15] Heidhus, Mary Somers. Southeast Asia A Concise History, hlm. 78.
[16] Sufism began as an Arab Islamic movement in the eight century and was considered by orthodox Muslims to be heresy, but it spread across the Muslim world, usually organized as Muslim fraternal brotherhoods that preached sufi doctrines. G.P. Means. (2009). Political Islam in Southeast Asia. Selangor : Strategic Information and Research Development Centre, hlm. 22.
[17] Antara tokoh sufi yang terkenal ialah Syeikh Ismail yang datang dari Makkah ke Samudera untuk menyebarkan Islam. Kemudian, beliau singgah di Ma’abri dan disambut oleh al-Faqir. Mereka berdua bersama-sama ke Samudera dan berjaya mengislamkan Raja Samudera, Merah Silu yang kemudiannya bergelar Malik as-Salih. Mahayudin Hj Yahaya. (2001). Islam di Alam Melayu. Selangor : Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 7-8.
[18] Azyumardi Azra. Jaringan Ulama Timur Tengah dan Kepulauan Nusantara Abad XVII dan XVIII, hlm. 14.
[19] Mahayudin Hj Yahaya. Islam di Alam Melayu, hlm. 13.
p/s : mohon diberi komen oleh sesiapa yang melihat kedhaifan pemahaman penulis supaya kembali kepada pemahaman yang benar terutamanya teguran daripada sifu "sis siti fauziana" :)











1 ulasan:
nice artikel... menarik.... pengaruh golongan sufi dlm amalan Islam pun masih dpt dilihat dlm msyrkt melayu kita, mcm amalan berqasidah marhaban, zikir jamaah, tahlil & tarikat2....(kalo salah, btulkan ye kak... =)
erm... satu persoalan, saya pernah tgk di tv dulu, kedatangan Islam di nusantara ni jgk satu masa dulu.. ada juga masalah konfrontasi antara 2 mzhb akidah Sunnah & Syiah.. kalo x silap di Sumatera... erm.. kerajaan Pasai/Perlak.... bleh bg komen x kak?
Catat Ulasan