CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Sabtu, 21 Mac 2009

Luahan Hati Nurani...


Tuhan… Aku sering menangisi ujian darimu. Hingga kadangkala tiada lagi titisan air mata yang mampu kutumpahkan… Hanya kerana aku menanggapi insan kerdil ini sebagai insan lemah… Aku gagal bangkit seiring syiar yang Engkau gariskan. Namun, aku mulai sedar, tidak akan bermula sesuatu selagi ia belum disedarkan dari mimpi. Mimpi di dalam cermin hidup yang fana. Yang hanya menanti detik dan saat retak dan hancur berkecai... aku sedar...dan telah lama menyedarinya...Namun, kekhilafan diri hina ini menjadikan aku buta. Buta... dalam mata yang masih terbuka luas. Namun, baru kini ku sedar. Hatiku yang tertutup rapat. Terus hanyut di buai keasyikan keduniaan. Dunia ini tiada lain hanya persinggahan sementara dan sangat asing... Hanya sebagai bekalan untuk perjalanan hari esok... Namun, kadang kala aku masih tidak terlepas dari angan-angan kosong... Masaku hanyut, asyik dan leka dengan hilai tawa yang mendukakan. Beradu kasih mencari hiburan. Aku akui... Hari esok pasti kan menjelma. Namun, tetap aku sedari yang tiap saat yang menjelma dan hadir adalah belum pasti buatku... Aku mohon ampun sepenuh keampunan dari Mu Ya Tuhan. Ampunkanlah diri hambaMu yang lagi hina ini. Aku berniat seikhlasnya, selagi nyawaku di kandung badan, dan selagi matahari terbit di timuran, maka selagi itulah perjuangan hakiki akan kuteruskan... Salam Jihad...

Jumaat, 20 Mac 2009

25 Nasihat Luqman Al Hakim


Dengan apa yang telah diterangkan oleh AL-Quran berhubung dengan Luqman
Al-Hakim para ulamak telah memperincikan lagi perbicaraan Luqman dengan
anak-anaknya. menerusi satu riwayat dalam kitab Tafsir Ruhul Ma'ani dan
Kitab Hidayatul Mustarsyidin bahawa Luqman telah memberikan anaknya dua
puluh lima wasiat. Antaranya ialah:

1. Hai anakku, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam dan
banyak manusia yang karam di dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar
jangan karam, layarilah lautan itu dengan sampan yang bernama takwa, isinya
ialah iman dan layarnya ialah tawakkal kepada Allah.

2. Orang-orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima
nasihat, yakin dirinya akan mendapat penjagaan daripada Allah S.W.T. Orang
yang insaf dari kesalahan setelah menerima nasihat daripada orang lain, dia
akan sentiasa menerima kemuliaan dari Allah S.W.T. jua.

3. Hai anakku! Orang yang merasa dirinya lebih rendah di dalam
beribadah dan taat kepada Allah, maka orang itu akan sentiasa tawaduk kepada
Allah, dia akan lebih dekat kepada Allah dan sentias menghindarkan dirinya
daripada melakukan maksiat.

5. Jauhilah dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya
berhutang itu akan menjadikan dirimu hina d waktu siang dan hina di waktu
malam.

6. Dan selalulah berharap kepada Allah tentang sesuatu yang
menyebabkan kamu menderhaka. Takutlah kepada Allah dengan benar-benar
takut, tentulah engkau akan terlepas dari sifat putus asa dari rahmat Allah
S.W.T.

11. Hai anakku! Bila engkau menghadapi dua pilihan, menziarahi orang
mati atau menghadiri mailis perkahwinan, maka hendaklah engkau memilih
menziarahi orang mati. Sebab menziarahi orang mati itu akan mengingatkan
kamu kepada akhirat, sedangkan menghadiri majlis perkahwinan itu hanyalah
akan mengingatkan kamu kesenangan duniawi sahaja.

12. Janganlah engkau makan atau minum yang berlebihan, kerana
sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu akan merosakkan diri dan
pemikiranmu, dan alangkah baiknya makanan yang lebih itu diberikan kepada
anjing sahaja.

15. Hai anakku! Bukanlah suatu kebaikan namanya apabila engkau selalu
mencari ilmu tetapi tidak engkau mengamalkannya. Hal itu tidak ubahnya
seperti orang yang mencari kayu api, setelah banyak terkumpul maka dia tidak
mampu memikulnya padahal dia masih terus mengumpulkannya.

16. Hai anakku! Apabila engkau ingin mencari teman sejati, maka
ujilah terlebih dulu dengan perkara yang menaikkan kemarahannya. Bilamana
dalam kemarahan itu dia masih berusaha untuk menginsafkan engkau, maka
bolehlah engkau ambil sebagai kawan, dan sekiranya bukan demikian maka
berhati-hatilah engkau terhadapnya.

17. Perbaikkanlah tutur katamu, halus budi bahasamu dan manis wajahmu,
kerana engkau akan disukai orang yang melebihi sukanya terhadap orang lain
yang pernah memberikan barang yang berharga kepadanya.

18. Hai anakku! Apabila engkau berteman, jadikanlah dirimu orang yang
tidak pernah mengharapkan daripadanya. Namun biarlah dia mengharapkan
sesuatu daripadamu.

19. Jagalah dirimu dalam setiap perkara sebagai seorang yang tidak
berhajatkan kepada pujian atau sanjungan dari orang lain, kerana
penguasaannya itu akan menyebabkan diri kamu beroleh.

20. Hai anakku! Usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata
busuk, kotor dan kasar kerana engkau akan lebih selamat apabila berdiam
diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar dirimu akan mendatangkan manfaat
kepada orang lain.

21. Hai anakku! Janganlah engkau cenderung kepada dunia semata-mata dan
hatimu jangan disibukkan dengan urusan dunia semata-mata, kerana engkau
diciptakan Allah bukannya untuk urusan dunia sahaja. Tidak ada orang yang
lebih hina melainkan orang yang terpedaya dengan dunia semata-mata.

22. Hai anakku! Janganlah engkau terlalu mudah ketawa kalau bukan
perkara yang menggelikan, jangan engkau berjalan tanpa tujuan pasti,
janganlah engkau menanyakan sesuatu yang tidak ada gunanya bagi diri kamu
dan janganlah engkau mensia-siakan harta dunia kamu.

23. Barangsiapa yang penyayang, sudah tentu akan disayang, siapa yang
suka berdiam diri sudah tentu akan selamat daripada berkata-kata tentang
perkara yang mengandungi racun, dan barangsiapa yang tidak mampu menahan
lidahnya daripada berkata kotor, sudah tentu akan menyesal.

24. Hai anakku! Bergaul mesralah dengan orang alim dan berilmu.
Perhatikanlah kata-kata dan nasihatnya kerana sesungguhnya akan sejuk hati
kamu mendengar nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari
mutiara kata alim ulama bagaikan tanah yang subur disirami air hujan.

25. Hai anakku! Ambillah harta dunia sekadar keperluanmu, dan
nafkahkanlah yang selebihnya untuk akhirat. Jangan engkau tendang dunia ini
ke bakul sampah, kelak diri kamu akan menjadi pengemis yang membebankan
orang lain. Sebaliknya jangan engkau rangkul dunia ini dan meneguk habis
kerana sesungguhnya semua yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah
belaka. Jangan engkau bertemankan orang bodoh dan orang yang bermuka dua,
kerana akan aniayakan diri kamu.

Selasa, 17 Mac 2009

Tangisan Keinsafan


Saudara/saudari sekalian...
Bangun dan sujud pada tengah malam adalah amalan Rasulullah serta para sahabat.

Saidina Abu Bakar al-Siddiq adalah seorang sahabat Rasulullah SAW yang
amat penyedih. Apabila beliau membaca ayat Allah, air matanya tidak
dapat dibendung. Hatinya begitu lembut, sensitif dan cepat tersentuh.

Saidina Umar pula suka mengingatkan dirinya terhadap hari perhitungan.
Ketakutan sentiasa menguasai hatinya. Wajahnya diguris bekas aliran
tangisan yang terus-menerus mengalir mengingat hari perjumpaan dengan
Allah kelak.

Ketika dalam keadaan sakit tenat yang membawa kepada kematiannya, beliau
berkata, kepada anaknya Abdullah bin Umar: "Letakkan pipiku di atas
tanah." Abdullah melarang dengan lembut sambil berkata: "Wahai ayah,
bukankah itu akan membuatmu semakin sakit?" Umar berkata lagi: "Aku
tidak peduli, letakkan aku di atas tanah, celakalah aku jika Tuhanku
tidak merahmati aku!"

Tangisan adalah ubat bagi hati yang keras. Ia mendatangkan cahaya dan
membersih daripada kekotoran dosa, manakala berlebihan tertawa dan
bersenda gurau membawa kepada kelalaian, mengeraskan hati dan
mengeruhkan kesuciannya.


Rasulullah SAW suatu ketika bertemu sahabat yang tertawa sambil
bergurau. Baginda SAW bersabda maksudnya: "Jika kamu semua mengetahui
seperti apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan banyak menangis dan
sedikit tertawa."

Ada beberapa alasan mengapa orang beriman perlu menangisi dirinya.

a) Dia tidak tahu qada dan qadar atas dirinya.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya kamu dikumpulkan
kejadiannya dalam perut ibu 40 hari air mani, kemudian menjadi segumpal
darah selama 40 hari lagi, kemudian menjadi seketul daging selama 40
hari, kemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu ditiupkan roh kepadanya
dan dituliskan empat kalimah iaitu rezekinya, umurnya, amalnya,
celakanya atau bahagianya. Maka, demi Allah yang tidak ada Tuhan
selain-Nya, sesungguhnya seseorang mengerjakan amal ahli syurga sehingga
tidak ada jarak antaranya dengan syurga itu melainkan sehasta, kemudian
terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu ia pun mengerjakan amal ahli
neraka maka masuklah ia ke dalamnya. Dan seseorang mengerjakan amal ahli
neraka sehingga tidak ada jarak di antaranya dengan neraka kecuali
sehasta. Kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu dia pun
mengerjakan amalan ahli syurga maka masuklah dia ke dalamnya." (Hadis
riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Siapakah yang boleh menjamin nama kita termasuk dalam senarai ahli
syurga? Tidakkah hal itu petanda bahawa kita tidak berkuasa menolong
diri sendiri? Letakkanlah diri kita sentiasa dalam keadaan cemas, takut
dan harap kepada Allah. Caranya dengan banyak menangis dan
memohon pertolongan-Nya.

b) Menangislah kerana ingat terhadap malam pertama di alam kubur.

Siapakah yang menjadi teman untuk seorang pengantin yang memakai helaian
kafan? Ditinggalkan sendirian menanggung nasib, meratapi kepergian orang
yang menghantar ke kuburnya. Jangan pergi! Mana anakku, isteri dan
saudara mara yang dulu mengasihiku? Semua hartaku, siapa yang
menghabiskan segala jerih payahku selama ini? Lubang itu terlalu sempit,
tempat cacing dan ulat menggigit-gigit.

Malam pertama di sini sungguh berat ditanggung sendiri. Ada malaikat
yang datang membawa urusan amat penting. Persoalan yang bukan senda
gurau kekasih pada malam pengantin. Bahkan, gertakan yang mengecutkan
hati dan kekerasan yang memadamkan kegembiraan.

Siapakah yang mahu menolong aku, menemani dan membela diriku? Di mana
sembahyang, puasa, haji dan sedekahku? Datanglah selimuti aku daripada
kepedihan seksa ini. Di mana bacaan al-Quran, zikir dan kelembutan lidah
yang pernah mengeluarkan kata-kata yang baik?

Datanglah semua segala kebaikanku dari atas kepala, di sebelah tangan,
di kaki, di seluruh tubuh badan yang kaku dan pucat ini.

Siapakah yang sanggup membela jika bukan amal salih di dunia. Mayat itu
menangis di perut bumi, menyesal mengapa dulu ia tidak menangis ketika
bersimpuh di atas bumi?

c) Menangis kerana ingatkan hari perhitungan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Orang yang muflis di kalangan
umatku ialah: Seseorang yang datang pada hari kiamat dengan pahala
sembahyang, puasa dan zakat. Tetapi, dia pernah mencaci si polan,
menuduh si polan, menumpah darah si polan dan memukul si polan. Maka
akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan
orang tadi sehingga apabila habis pahalanya, sedangkan belum semua
terbayar, maka akan diambil ganti dari dosa orang itu dan dibebankan
kepadanya dan dia dicampakkan ke dalam neraka kerananya." (Riwayat
Muslim dari Abu Hurairah)

Ingatlah keaiban diri yang terlalu banyak untuk dihitung, jangan sibuk
menyebut aib orang lain. Semua orang di sekeliling kita tidak dapat
menolong kecuali amal ibadat yang dilakukan dengan keikhlasan.

Bilakah saat dan ketika paling tepat untuk kita menangis supaya lembut
hati yang keras oleh hawa nafsu yang dituruti? Pada tengah malam yang
dingin, bangun dan berdiri tanpa diketahui oleh manusia yang asyik
bermimpi, sujud dan doa yang panjang, bacaan al-Quran dan
zikrullah juga istighfar.

Amalan ini menjadi kebiasaan Rasulullah SAW dan sahabatnya serta menjadi
ikutan orang salih yang mahukan ketenangan jiwa pada akhir zaman ini.
Ubati kegelisahan, tekanan dan kesakitan jiwa dengan menangis, solat dan
zikrullah.