CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Selasa, 17 Mac 2009

Tangisan Keinsafan


Saudara/saudari sekalian...
Bangun dan sujud pada tengah malam adalah amalan Rasulullah serta para sahabat.

Saidina Abu Bakar al-Siddiq adalah seorang sahabat Rasulullah SAW yang
amat penyedih. Apabila beliau membaca ayat Allah, air matanya tidak
dapat dibendung. Hatinya begitu lembut, sensitif dan cepat tersentuh.

Saidina Umar pula suka mengingatkan dirinya terhadap hari perhitungan.
Ketakutan sentiasa menguasai hatinya. Wajahnya diguris bekas aliran
tangisan yang terus-menerus mengalir mengingat hari perjumpaan dengan
Allah kelak.

Ketika dalam keadaan sakit tenat yang membawa kepada kematiannya, beliau
berkata, kepada anaknya Abdullah bin Umar: "Letakkan pipiku di atas
tanah." Abdullah melarang dengan lembut sambil berkata: "Wahai ayah,
bukankah itu akan membuatmu semakin sakit?" Umar berkata lagi: "Aku
tidak peduli, letakkan aku di atas tanah, celakalah aku jika Tuhanku
tidak merahmati aku!"

Tangisan adalah ubat bagi hati yang keras. Ia mendatangkan cahaya dan
membersih daripada kekotoran dosa, manakala berlebihan tertawa dan
bersenda gurau membawa kepada kelalaian, mengeraskan hati dan
mengeruhkan kesuciannya.


Rasulullah SAW suatu ketika bertemu sahabat yang tertawa sambil
bergurau. Baginda SAW bersabda maksudnya: "Jika kamu semua mengetahui
seperti apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan banyak menangis dan
sedikit tertawa."

Ada beberapa alasan mengapa orang beriman perlu menangisi dirinya.

a) Dia tidak tahu qada dan qadar atas dirinya.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya kamu dikumpulkan
kejadiannya dalam perut ibu 40 hari air mani, kemudian menjadi segumpal
darah selama 40 hari lagi, kemudian menjadi seketul daging selama 40
hari, kemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu ditiupkan roh kepadanya
dan dituliskan empat kalimah iaitu rezekinya, umurnya, amalnya,
celakanya atau bahagianya. Maka, demi Allah yang tidak ada Tuhan
selain-Nya, sesungguhnya seseorang mengerjakan amal ahli syurga sehingga
tidak ada jarak antaranya dengan syurga itu melainkan sehasta, kemudian
terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu ia pun mengerjakan amal ahli
neraka maka masuklah ia ke dalamnya. Dan seseorang mengerjakan amal ahli
neraka sehingga tidak ada jarak di antaranya dengan neraka kecuali
sehasta. Kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu dia pun
mengerjakan amalan ahli syurga maka masuklah dia ke dalamnya." (Hadis
riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Siapakah yang boleh menjamin nama kita termasuk dalam senarai ahli
syurga? Tidakkah hal itu petanda bahawa kita tidak berkuasa menolong
diri sendiri? Letakkanlah diri kita sentiasa dalam keadaan cemas, takut
dan harap kepada Allah. Caranya dengan banyak menangis dan
memohon pertolongan-Nya.

b) Menangislah kerana ingat terhadap malam pertama di alam kubur.

Siapakah yang menjadi teman untuk seorang pengantin yang memakai helaian
kafan? Ditinggalkan sendirian menanggung nasib, meratapi kepergian orang
yang menghantar ke kuburnya. Jangan pergi! Mana anakku, isteri dan
saudara mara yang dulu mengasihiku? Semua hartaku, siapa yang
menghabiskan segala jerih payahku selama ini? Lubang itu terlalu sempit,
tempat cacing dan ulat menggigit-gigit.

Malam pertama di sini sungguh berat ditanggung sendiri. Ada malaikat
yang datang membawa urusan amat penting. Persoalan yang bukan senda
gurau kekasih pada malam pengantin. Bahkan, gertakan yang mengecutkan
hati dan kekerasan yang memadamkan kegembiraan.

Siapakah yang mahu menolong aku, menemani dan membela diriku? Di mana
sembahyang, puasa, haji dan sedekahku? Datanglah selimuti aku daripada
kepedihan seksa ini. Di mana bacaan al-Quran, zikir dan kelembutan lidah
yang pernah mengeluarkan kata-kata yang baik?

Datanglah semua segala kebaikanku dari atas kepala, di sebelah tangan,
di kaki, di seluruh tubuh badan yang kaku dan pucat ini.

Siapakah yang sanggup membela jika bukan amal salih di dunia. Mayat itu
menangis di perut bumi, menyesal mengapa dulu ia tidak menangis ketika
bersimpuh di atas bumi?

c) Menangis kerana ingatkan hari perhitungan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Orang yang muflis di kalangan
umatku ialah: Seseorang yang datang pada hari kiamat dengan pahala
sembahyang, puasa dan zakat. Tetapi, dia pernah mencaci si polan,
menuduh si polan, menumpah darah si polan dan memukul si polan. Maka
akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan
orang tadi sehingga apabila habis pahalanya, sedangkan belum semua
terbayar, maka akan diambil ganti dari dosa orang itu dan dibebankan
kepadanya dan dia dicampakkan ke dalam neraka kerananya." (Riwayat
Muslim dari Abu Hurairah)

Ingatlah keaiban diri yang terlalu banyak untuk dihitung, jangan sibuk
menyebut aib orang lain. Semua orang di sekeliling kita tidak dapat
menolong kecuali amal ibadat yang dilakukan dengan keikhlasan.

Bilakah saat dan ketika paling tepat untuk kita menangis supaya lembut
hati yang keras oleh hawa nafsu yang dituruti? Pada tengah malam yang
dingin, bangun dan berdiri tanpa diketahui oleh manusia yang asyik
bermimpi, sujud dan doa yang panjang, bacaan al-Quran dan
zikrullah juga istighfar.

Amalan ini menjadi kebiasaan Rasulullah SAW dan sahabatnya serta menjadi
ikutan orang salih yang mahukan ketenangan jiwa pada akhir zaman ini.
Ubati kegelisahan, tekanan dan kesakitan jiwa dengan menangis, solat dan
zikrullah.

0 ulasan: